Sekadar Renungan...


Mentaati Kedua Ibu Bapa

Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” Riwayat al-HakimHuraian :




Pengajaran hadis:




i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.


ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak.




Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.


iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.




iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.




v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia.




Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.








Antara orang yang istimewa dalam hidup setiap insan ialah ibu. Apakah kewajipan anak terhadap ibu?




Kewajipan khusus anak-anak ialah menyediakan diri untuk menyenangkan hati ibu. Sebabnya, dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda, keredaan Allah adalah pada keredaan ibu bapa.




Sebagai anak, kita perlu ingat bahawa sekuat mana pun kita beribadat tetapi jika kita tidak menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa, Allah tidak akan reda kepada kita.




Allah berfirman, Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah pula...(al-Ahqaf: 15)




Dosa kita kepada ibu bapa ini adalah dari hujung rambut hingga hujung kaki.Sepatutnya, kita perlu melayan mereka dengan sebaik mungkin, mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka semasa hidup lebih-lebih lagi apabila mereka telah mati. Mendoakan ibu bapa adalah antara sifat anak yang soleh.



Apakah maksud yang tersirat di sini?


Ibu ini oleh sebab kasih sayang yang terlalu hebat terhadap anak-anak masih mampu tersenyum menjaga dan membesarkan walaupun 10 anak. Tetapi kasih anak kepada ibu sedikit sahaja.Sepatutnya anak-anak perlu berebut-rebut untuk menjaga ibu bapa semasa mereka sudah tua. Sebabnya, rumah siapa yang dipilih oleh ibu tinggal itulah anak yang soleh atau solehah.




Dalam hal ini, ibu bapa juga berperanan mengasuh dan mendidik anak dengan baik sejak mereka kecil. Ini supaya apabila kita tua, anak-anak pula akan menjaga kita. Ini ditegaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya, berbuat baiklah kepada ibu bapa kamu nescaya anak-anak kamu berbuat baik kepada kamu.Jika ada perselisihan atau masalah dengan ibu bapa selesaikan segera. Sebagai anak, kita jangan ego walau setinggi mana kedudukan atau jawatan kita. Ibu tetap ibu walaupun jika mereka itu buta huruf.




Sabda Rasulullah, “sesiapa yang bangun pagi dan melakukan sesuatu yang menyenangkan hati ibu bapanya maka terbuka dua pintu ke syurga. Begitulah juga pada waktu petang. Tetapi barang siapa yang melakukan sesuatu yang tidak diredai oleh ibu bapanya maka terbuka dua pintu neraka”.




Sebab itu anak-anak perlu segera memohon maaf kepada ibu bapa jika berselisih faham. Jangan biarkan sehingga tidak bertegur sapa bertahun-tahun lamanya.Jika semasa kecil kita tidak mendapat didikan yang sewajarnya disebabkan oleh keadaan ketika itu, apabila dewasa hendaklah kita memaafkan ibu kita.




Apa yang penting, kita perlu sentiasa menjaga hubungan baik dengan ibu bapa.Ingatlah sabda Rasulullah, “dua perkara yang siapa melakukannya akan diazab oleh Allah semasa di dunia lagi iaitulah berbuat zalim dan menderhaka kepada ibu bapa.”Ramai yang menyedari harga kasih sayang ibu setelah mereka meninggal dunia.




Bagaimana kita menunjukkan kasih sayang kepada mereka semasa hayat masih ada?Elakkan daripada perbuatan yang menyakitkan hati atau yang boleh merunsingkan fikiran mereka.Tunjukkan kasih sayang kepada mereka sebagaimana mereka mengasihani dan menjaga kita semasa kecil.




Kalau kesihatan mereka kurang baik, boleh kita bekalkan dengan makanan tambahan supaya mereka lebih sihat dan bertenaga untuk beribadat.Selepas kematian mereka bukan bermakna tugas anak sudah selesai. Sebaliknya kita perlu terus berkhidmat dengan mendoakan mereka agar mendapat pengampunan Allah dan diangkat martabat mereka.




Doa anak soleh kepada ibu bapa adalah antara tiga perkara yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad yang dapat membantu Muslim selepas kematian.Seperkara lagi yang boleh dilakukan apabila ibu bapa meninggal ialah berbuat baik dengan adik-beradik dan sahabat mereka.Bagi mereka yang tidak mempunyai anak, adalah menjadi tanggungjawab anak saudara menjaga ibu saudara semasa mereka lanjut usia. Anak-anak saudara tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.

Comments